29 January 2011

ORANG BERBUDI,KITA BERBAHASA...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari ini, 29 Januari 2011 aku berkesempatan untuk membeli belah di Kuala Lumpur. Apatah lagi wang pinjaman sudah dikreditkan kepada pelajar, apa lagi...shoping sakan la...

Dalam besesak-sesak mahu ke Mid Valley Megamall, kami terpaksa bergelut dengan pelbagai ragam manusia. Apatah lagi hari ini merupakan hari minggu dan beberapa hari sahaja lagi Tahun Baru Cina akan menjelma. Maka ramailah orang yang berpusu-pusu untuk membeli belah. Kami mengambil komuter untuk sampai ke sana. Dalam kesesakan tersebut, aku sempat lagi melemparkan senyuman kepada seorang mak cik yang sedang duduk. Aku berdiri di hadapannya. Demi melihat aku yang sedang bersesak dikelilingi ramai orang, mak cik tersebut pun mempersilakan aku duduk. Pada mulanya aku agak segan dengan pelawaan mak cik tersebut, namun demi menjaga hatinya yang terpaksa berkongsi tempat duduk dengan cucunya, aku gagahi juga. Sampai sahaja di destinasi yang ingin kami tujui, aku pun mengucapkan terima kasih kepada mak cik tersebut.


Peristiwa kedua pula terjadi apabila aku sedang duduk menunggu komuter untuk pulang. Terdapat kerusi kosong bersebelahanku, namun aku membiarkannya kerana terdapat sebuah beg di atasnya. Kukira tempat tersebut dipunyai oleh orang lain, maka aku pun duduk di atas lantai bersebelahan kerusi tersebut. Aku menyedari bahawa terdapat seorang pelancong asing yang juga sedang menunggu komuter. Aku tidak menghiraukannya disebabkan keadaannya yang agak selekeh. Lalu aku duduk sambil berbual-bual dengan temanku.

Tiba-tiba kami disapa dari belakang.

Pelancong : Adik, abang...sila sini duduk.

Aku menoleh ke belakang. Rupa-rupanya si pelancong asing tadi menyapa kami supaya duduk di atas kerusi tersebut. Aku tersenyum kepadanya, dan mengucapakan terima kasih sahaja. Dalam hatiku timbul persoalan, baiknya budi bahasa dia walaupun salah!

Di sini aku mendapat dua pengajaran bahawa yang pertama, kita seharusnya hormat akan orang yang lebih tua daripada kita. Sebagai manusia, budi bicara tidak mengenal status dan pangkat seseorang. Yang menjadi tonggak utama ialah amalan yang dilakukan. Berapa banyak masyarakat kita sekarang yang tidak tahu menghormati orang tua, orang mengandung, OKU, dan ibu yang membawa anak kecil ketika berada di tempat awam, Sebagai contoh, jika seorang mak cik sedang berdiri di dalam komuter yang sangat sesak, manakala kita yang masih sihat sedang bersenang-lenang duduk sambil memerhatikan gelagat mak cik tersebut. Bagaimana jika mak cik tersebut adalah ibu kita sendiri? Tentu berdosakan kita???? Bagaimana pula dengan situasi yang dialami olehku tadi, sanggupkah kita mengucapkan terima kasih mahupun senyum kepada mak cik tersebut kerana malu dilihat oleh orang lain????

Pengajaran kedua pula ialah, jangan melihat seseorang berdasarkan luarannya sahaja. Memang aku silap kerana memandang sinis kepada pelancong asing tersebut. Namun, ternyata dia lebih mulia daripada segelintir masyarakat kita yang tidak tahu bertolak ansur. Aku kagum dengan sikap orang asing tersebut. Walaupun nahu tatabahasa Melayunya tunggang terbalik, namun dia tetap berusaha untuk berkomunikasi dengan sopan dengan warga tempatan seperti aku. Aku tabik kepadanya. 




Selain itu, dia juga pandai bersopan santun dan hormat akan masyarakat yang begitu asing baginya. Adakah kita seperti itu??? Adakah masyarakat kita sekarang yang tahu berbudi bahasa di tempat awam???

Oh ya, aku juga terdengar ada seorang lelaki yang menggunakan kata-kata kesat apabila orang ramai sedang berpusu-pusu berebut untuk menaiki komuter.

Lelaki : Sial, p*** mak betul. Bagilah orang keluar dulu!

Begitulah masyarakat kita. Bukannya mahu bertolak ansur, tapi lebih mementingkan diri sendiri. Apatah lagi menggunakan kata-kata yang kurang enak didengar. Bagaimana sekiranya pelancong asing yang faham akan kata-kata itu, tentu mereka melabelkan masyarakat Malaysia tidak bermoral dan berbudi bahasa bukan?

Oleh itu, tidak salah sekiranya kita berbahasa dengan sopan. Tidak kiralah siapa kita, asal dari mana dan sebagainya kerana budi bicara melambangkan peribadi kita. Cantik bahasa kita, maka cantiklah budi kita. Begitulah sebaliknya. Sekian, wassalam.



28 January 2011

BAHASA DAN SASTERA

INDAHNYA ALAM

Kudongak ke langit
Biru...cukup indah
Bagaikan menceritakan sebuah hikayat
Ceritera kayangan
Ukiran yang pelbagai
Seolah-olah ada kisah di sebaliknya
Inginku teroka
Tapi bukan masanya...

Kulihat ke kiri
Hutan yang tebal
Hening menghijau
Unggas-unggas beterbangan
Riang bermain
Seperti kanak-kanak bermain di taman
Flora saling mekar
Seperti pertandingan ratu dunia
Indah...cukup indah.

Kutoleh  ke kanan
Laut yang membiru
Tenang...damai...
Desiran ombak memecah pantai
Bagaikan saling bekerjasama
Tiada rasa cemburu
Tiada rasa dendam
Bagaikan buih-buih memutih
yang belum dinodai..

Kuberpaling ke belakang
Gunung-ganang megah berdiri
Hijau, bagaikan warna di syurga
Terkadang mentari pagi muncul menyinari
di celah-celah gunung yang memberi seribu erti
Erti yang kusendiri tidak mengerti.

Ketika orang lain sedang bersiap-siap untuk pulang ke kampung halaman, aku pula lebih sibuk menyiapkan segala tugasan. Bukan sengaja tidak mahu pulang, tetapi atas beberapa faktor yang menghalang, aku terpaksa mengambil keputusan untuk terus tinggal di KHAR ini.

Aku telah menyiapkan satu antologi sajak yang terdiri daripada pelbagai tema seperti patriotisme, persahabatan, percintaan dan juga alam. Semua ini gara-gara tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah subjek Keterampilan Penulis. Disebabkan sedikit minat aku terhadap sastera, aku telah berjaya menghasilkan 20 buah sajak dalam masa 2 jam. Puas rasanya dapat menghasilkan karya mengikut buah fikiran aku sendiri.

Seperti sajak di atas, aku namakan sajak tersebut dengan Indahnya Alam. Indah bukan alam ciptaan kita ini? Begitu juga bahasa. Sangat indah. Bahasa dan sastera memang tidak dapar dipisahkan. Bak kata P.Ramlee bagai irama dan lagu. Tiada bahasa, maka tiada jugalah sastera. Begitulah sebaliknya. Dalam berbahasa juga kita dapat mengungkap sesuatu ujaran dengan lebih teratur dan kemas. Dengan sastera pula kita dapat menyampaikan maksud sesuatu itu dengan lebih sopan dan indah. 

Dalam sajak di atas, aku telah kemukakan diksi-diksi alam bagi menyatakan perasaanku tentang alam yang cukup indah ini. Bertapa bersyukurnya aku dapat hidup dan menghirup udara yang segar di atas bumi Tuhan. Begitulah yang mahu aku ungkapkan. Dengan sastera aku dapat menghasilkan sebuah sajak yang begitu puitis. Dengan bahasa pula, kata-kata yang tersusun dan teratur dapat aku gunakan untuk mengungkapkan perasaanku.

Oleh itu, kita seharusnya bersyukur dengan segala yang kita ada. Kita dikurniakan bahasa yang indah dan cantik bagi menyampaikan maksud sama ada tersurat mahupun tersirat. Bahasa jiwa bangsa, maka bangsa seperti kitalah yang harus mencoraknya sebaik mungkin. Wassalam.



27 January 2011

TERKILAN...

Sedih dan pedih bukan apabila kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang. Apatah lagi mengenai perkara yang remeh temeh. Kali itu jugalah macam-macam prasangka buruk yang akan dilemparkan antara satu sama lain. 

Hendak dijadikan cerita. Pada suatu hari, terjadi pergaduhan kecil antara aku dan si dia. Apa yang hendak dihairankan, sudah menjadi adat apabila berkasih sayang bukan? Ada sahaja perasaan cemburu menyelubungi hati. Disebabkan aku berasal dari Kedah, manakala si dia berasal dari Kelantan, maka keluarlah kata-kata dari dialek masing-masing.

Si dia : Bekeng teh!

Aku : Suka hati aku la, ang kalut pa?

Perasaan marah semakin meluap-luap. Memang, setiap kali bergaduh ada sahaja perkataan yang kurang enak didengar menjadi halwa telinga. Apatah lagi setelah berjanji untuk makan bersama-sama. Akhirnya masing-masing mengalah.



Kadang-kala rasa geli hati pula apabila di saat bergaduh akan terkeluar kata-kata dari dialek masing-masing. Apatah lagi kalau tidak faham, maka terkapai-kapailah aku mencari maksudnya. Nasib baiklah si dia tidak perlu sepertiku kerana bahasa perbualan kami setiap hari adalah menggunakan dialek utara. 

Sebagai kesimpulannya, biar apa warna kulit kita...hitam, coklat, kuning, biru...kita tetap satu. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Walaupun kita berkasih-sayang, kita seharusnya menjaga tata susila juga. begitu juga dengan orang yang lebih dewasa daripada kita. Oleh, marilah kita menggunakan kata-kata yang enak sepanjang masa tidak kiralah bila dan di mana. Sekian.


DI DEKAT, DI JAUH...

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..

Ketika sedang berehat-rehat sebelum ke kelas seterusnya di bilik kuliah Proton City, aku dan rakan-rakan yang lain sempat berbual-bual kosong mengenai hari-hari di bumi Tanjong Malim ini. Aku sempat lagi memerhati sekeliling dengan kesibukan para pelajar yang lalu-lalang bekejar-kejaran untuk ke kelas. Sambil memerhatikan gelagat mereka, mataku sempat terbaca satu memo yang ditampal oleh pihak pengurusan Proton City. Aku juga sempat mengambil gambar memo tersebut sebagai bahan bukti :
 :


Apakah yang menjadi persoalannya kali ini?  Ya, jikalau kita perhatikan memang ayatnya sungguh gramatis. Tiada kesalahan ayat di situ. Namun, yang menjadi perhatianku di sini ialah beberapa perkataan seperti "di benarkan", " di buat" dan "di layan". Apa yang menjadi permasalahannya di sini?

Ya, bagi mereka yang tidak tahu. Penggunaan kata sendi "di" apabila bertemu dengan kata kerja/ perbuatan hendaklah didekatkan. Manakala penggunaan kata sendi "di" apabila bertemu dengan kata arah/ tempat hendaklah dipisahkan. Seperti berikut :


Cantik bukan bahasa kita? Setiap kata mestilah mengikut rumusnya. Seperti juga kita membaca ayat suci Al-Quran, setiap kalimah ada baris bacaannya. Oleh itu, marilah kita sama-sama menegur mana yang betul dan mana yang salah. Sesungguhnya setiap dari kita adalah bersaudara. Wassalam.

25 January 2011

MARAH DAN AMARAH..

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...

Letih, sungguh letih. Minggu yang terpaksa berkejar-kejaran ke sana dan ke sini. Ini gara-gara EDU! Mahu sahaja aku menangis...

Hari ini juga merupakan hari yang betul-betul buat aku GERAM. Entah kenapa dan mengapa, rasa BENCI makin membuak-buak kepada hamba ALLAH yang seorang itu. Pandai berjanji, tapi dia mungkiri. Pandai berkata-kata, tapai tak dikota. Bukanny orang yang tidak berpalajaran, tapi sudah sampai tahap PhD!

Lupakan seketika mengenainya. Alkisah, ketika berada di fakulti kira-kira jam 10.45 pagi tadi, aku bergegas ke bilik salah seorang pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi kerana telah membuat janji temu dengannya semalam. Aku ingin mengambil semula folio ROS daripada beliau. Malangnya, beliau tiada di bilik.Tak mengapalah, itu bukan tujuan aku yang sebenar. Tujuan aku adalah untuk berjumpa dengan seorang lagi pensyarah untuk menunjukkan Rancangan Mengajar kepadanya. Aku telahpun pergi untuk bertemunya semalam, namun macam-macam alasan yang diberikannya. Hari ini juga sama, aku pun sudah putus asa.

Nak dijadikan cerita, aku yang dari tadi mahu ke tandas kerana kes kecemasan terpaksalah ke tandas staf di fakulti tersebut. Setelah selesai, sahabatku pulak mengambil gilirannya. Tiba-tiba datanglah seorang "mak cik" yang tergesa-gesa mahu ke tandas juga. Namun malangnya, ketiga-tiga tandas  berkunci. Aku yang sedang membetul-betulkan tudung pun dimarahinya :

MAK CIK : You all ni staf ke? (dengan nada marah)

AKU : Tak. (ketakutan)

MAK CIK : Habis, tak reti nak baca kat luar tu ke?

AKU : Emergency tadi, maaf.

MAK CIK : Tandas sebelah kan ada!

Aku yang ketakutan terus mencapai beg lalu keluar dengan muka masam mencuka. 


Ya, memang kami salah sebab telah msuk ke dalam tandas staf. Dan aku pun telah minta maaf kepada beliau. Namun, begitukah sikap seorang yang berpendidikan, menggunakan kata-kata yang kurang sopan kepada anak bangsa sendiri? Tidakkah beliau tahu berbudi bahasa, menegur dengan cara yang berhikmah? Sedangkan di situ adalah tempat yang lahirnya para cendekiawan bahasa, salahkah jika beliau menggunakan bahasa yang elok untuk menegur?

Di sini aku dapat membuat rumusan bahawa, tidak semua orang yang berpendidikan tinggi tahu akan nilai-nilai berbudi bahasa. Mereka hanya tahu mengajar, tetapi tidak pula pandai mengaplikasikannya dalam kehidupan sendiri. Salahkah sekiranya anak bangsa menjadi begitu dek sikap pendidik sendiri yang tidak pandai berbudi bahasa? Renung-renungkan dan selamat beramal. 

21 January 2011

BAHASA KITA...1 MALAYSIA.

Dalam kesibukan mencari idea untuk membuat antologi sajak, aku mengambil kesempatan untuk menjelajah Youtube untuk mendapatkan sedikit hiburan. Tiba-tiba tercuit pula hatiku mendengar iklan Petronas yang telah dialih bahasanya ke dalam dialek Kelantan. Memandangkan aku orang Kedah, agak sukar sedikit untuk aku memahami maksud dialek tersebut. Mari kita lihat video tersebut bersama-sama :





Kelakar bukan? Ini pula gambar yang aku peroleh dari Facebook. Apa yang menjadi tarikan di sini ialah bahasa yang digunakan untuk menulis surat tersebut adalah dalam dialek Kelantan. Satu persoalan di sini ialah, masih adakah orang yang menggunakan kaedah menulis surat untuk menyatakan perasaan dan masih adakah penggunaan dialek setempat dalam penulisan surat. Mari kita fikir sejenak :)


YANG MENERANG DAN YANG DITERANG..




Assalamualaikum semua...
Cuti dua hari ni pergi mana? Buat tugasan? Rajin..macam tulah pelajar terbaik kan...hehe
Yang ada kesempatan bercuti tu, baguslah. Sekurang-kurangnya dapat menenangkan perasaan buat seketika setelah lima hari ke kelas kan.

Baiklah, mesti tertanya-tanya bukan apa pula motif aku meletakkan gambar papan tanda di atas. Haa, inilah yang menjadi perhatianku semasa bercuti ke Pulau Pangkor dua hari lepas. Bagi yang tak tahu, atau bukan berada dalam kursus bahasa Melayu, ada sedikit kesalahan hukum pada papan tanda tersebut. Hukum tersebut disebut sebagai Hukum D-M iaitu Diterangkan dan Menerangkan. Sesuatu perkara yang mahu diterangkan harus dinyatakan terlebih dahulu sebelum disusuli oleh perkataan yang menerangkan.

Contohnya seperti di bawah : 

kelapa muda = unsur yang diterangkan ialah kelapa manakala unsur yang menerangkan ialah muda yang
                        membawa maksud kelapa yang muda.

orang tua = orang yang sudah tua

guru bahasa = guru yang mengajarkan bahasa

Oleh itu, terdapat kesalahan pada papan tanda di atas. Contohnya, Teluk Dalam Resort. Ini menyalahi hukum D-M kerana mengikut hukum M-D. Yang ingin diterangkan ialah resort tersebut, bukannya Teluk Dalam. Oleh hal yang demikian, sepatutnya papan tanda tersebut ditulis sebagai Resort Teluk Dalam.

BAHASA SMS..

Semalam, 21 Januari 2011 aku berkesempatan mengikuti seminar Isu-isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu semasa bersama penceramah yang tidak asing lagi iaitu Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan. Beliau merupakan pemegang Kursi Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU).


Apa yang menarik untuk dikongsi bersama ialah, beliau telah menyenaraikan jenis-jenis bahasa moden (bahasa SMS) pada masa sekarang. Antaranya yang sempat menjadi perhatian aku adalah seperti :


*Percampuran antara kata bahasa Melayu dengan kata bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris.


  • leh join
  • kpd wife @ janda yg kesepian
  • nak chat
  • yg cute
  • morning sume
  • study btl2
  • area mane?
  • nuat copy
  • baru best 

*Kata bahasa basahan/ dialek.

  • bdk Penang                                                                      
  • bdk sek
  • sape
  • kat
  • nak
  • korang
  • bukak
  • tau
  • ngajar
  • gempak
  • kecik
  • pasal proggramming
  • ambik

*Bentuk singkat / gabungan.

  • sume
  • korang
  • askum
  • je/jer
  • klu
  • leh
  • pastu
  • bklah
  • pekabar
  • jenjalan naik vespa
  • tanak
  • camne / camner
  • camtu
  • ngan
  • tima kasih
  • kekadang
  • memasing

* Ejaan sewenang-wenangnya.

  • sume
  • sayer
  • jer
  • sape
  • cni
  • thanx
  • ncem
* Aspek sintaksis / wacana
       - bahasa basahan / percakapan

  • helo sume. leh join. yg lain bgn....
  • askum cik ida. jom jenjalan naik vespa.

Itulah serba sedikit yang dapat aku kongsikan. Apa yang menarik di sini, pada zaman yang serba moden kini, penggunaan bahasa SMS semakin hari semakin meluas. Aku juga kadang-kadang keliru apabila mendapat SMS yang tulisannya semakin pendek dan sukar untuk dibaca. 

Di sini, aku boleh membuat kesimpulan bahawa, semakin moden sesuatu generasi semakin sukar untuk mereka mematuhi nahu-nahu bahasa Melayu dengan betul. Dan semakin tidak berbudi bahasalah kita.

Ingin juga kupetik kata-kata Prof. Dr. Awang Sariyan semalam iaitu beliau menasihatkan generasi muda sekarang supaya jangan alpa dan jangan lalai. Kita tidak boleh hanya moden dalam kehidupan fizikal sahaja, tetapi kebudayaan yang perlu diungkapkan dalam bahasa. Oleh itu, marilah kita sama-sama renungkan kata-kata beliau tersebut.




20 January 2011

JALAN-JALAN..

Assalamualaikum semua...

Apa khabar? Harap semua sihat..iyelah, sekarang ni musim sering berubah-ubah. Kesihatan juga boleh terjejas. Oleh itu, pandai-pandailah kita menjaganya ye..

Mesti ramai yang suka kan, duit pinjaman PTPTN dah masuk. Mesti ada juga yang masih lagi merungut, masuk sikit dan macam-macam lagi...Apapun kawan-kawan, kita haruslah lebih banyak bersabar ye. Dan juga haruslah bersyukur dengan apa yang ada kerana munugkin ada hikamah di sebalik kesulitan.

Dalam kekangan waktu yang agak singkat dengan lambakan tugasan yang semakin banyak dan ketandusan wang, namun semua itu tidak menghalang aku untuk bercuti. Sememangnya melihat tempat orang adalah hobi yang tidak dapat aku elak. Itu juga bergantung kepada bajet, kalau bajet sedikit maka dekat lah tempat yang akan kulawat. Kalau bajet banyak, maka jauh lagilah tempat itu. Tapi buat masa sekarang aku hanya mampu melawat negeri-negeri di Semenanjung sahaja. Mungkin suatu hari nanti masa untuk melawat Borneo atau luar negara akan tercapai. Siapa tahu kan? Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.:)

Baiklah, semalam merupakan cuti umum bagi negeri Perak bagi menyambut perayaan Thaipusam. Sememangnya Malaysia terkenal dengan pelbagai kaum dan pelbagai perayaan. Di kesempatan itulah aku mengambil peluang untuk melawat Pulau Pangkor. Aku bersyukur kerana mempunyai temam yang mempunyai hobi yang sama denganku. Banyak tempat yang kami lawati dan aku tertarik kepada banner ini :-


Bangga juga aku apabila melihat logo UPSI terpampang di muka banner tersebut. Tetapi apa yang menjadi perhatianku di sini ialah, bahasa yang digunakan adalah sangat indah. Walaupun ditulis dalam Bahasa Inggeris dan di bawahnya Bahasa Melayu namun hasil gabungan kedua-dua bahasa ini menjadikan pengunjung begitu tertarik dengannya. Manakan tidak. kata "our" seolah-olah memberi gambaran bahawa Pulau Pangkor adalah milik bersama. Begitu juga dengan kata "kita". Cantik bukan? Inilah yang harus kita semai dalam masyarakat kita. Saling bertolak ansur dan sanggup berkongsi kenikmatan yang telah dikurniakan oleh Tuhan sebagai hak milik bersama.

Walau apa pun bangsa dan agama kita, kita adalah satu. SATU MALAYSIA.



18 January 2011

SEDAP TAK SEDAP..

Assalamualaikum semua..
Wah..wah..wah..bersemangat rasanya nak menulis ni.Tapi idea sekejap ada, sekejap tak ada. Macam Chipsmore pulak..Apa pun, syabas diucapkan kepada semua rakan yang telah berjaya menulis diari dalam blog masing-masing.

Oh ya, bercakap mengenai sedap. Tentu ramai yang memikirkan tentang makanan bukan? Aku juga begitu. Teringat pula lawak jenaka yang sering diucapkan oleh Prof. Hamid ketika aku berada di semester dua. Setiap kali beliau menyuruh dalam kalangan kami untuk membaca sesuatu, pasti akan diucapkan perkataan sedap sebanyak tiga kali...Sedap, sedap, sedap.Macam si kecil Upin dan Ipin pula!


Berbalik kepada tajuk di atas. Orang-orang tua dahulu sering menegur kita dengan kata-kata yang manis. Kalau kita salah, sudah tentu mereka akan memerli, amboi, sedapnya bahasa! Begitulah orang kita. Sinis tapi memberi makna yang berkesan dalam hidup. 

Ingin aku ceritakan satu kisah yang agak menarik hari ini. Sedang asyik menunggu bas untuk ke kelas, kami berborak-borak seketika untuk menghilangkan rasa bosan. Tiba-tiba terdengar rakanku merungut. Tugasan banyak! Tak larat nak buat! Pinjaman tak masuk! Mampus la macam ni! 
Seorang lagi menyambung, **** buat apa dengan duit kita, mentekedaqah kot! Ingat kita ni anak Tan Sri, Dato'? 
Dalam hatiku, amboi dia ni...bahasa!

Ingin kukatakan di sini, memang kadang-kala kita tidak sedar akan apa yang kita ucapkan. Apatah lagi dalam keadaan marah. Namun harus diingat, kita sebagai bakal pendidik haruslah menjaga tatasusila percakapan agar tidak dipandang serong oleh masyarakat. Sedangkan kita yang mendengarnya lagi sakit telinga, inikan pula orang lain. Jadi, renung-renungkan dan selamat beramal...

Sebelum berpisah, marilah kita renungi mesej yang cuba disampaikan dalam lagu nyanyian Dato' Siti Nurhaliza ini :-)