29 January 2011

ORANG BERBUDI,KITA BERBAHASA...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari ini, 29 Januari 2011 aku berkesempatan untuk membeli belah di Kuala Lumpur. Apatah lagi wang pinjaman sudah dikreditkan kepada pelajar, apa lagi...shoping sakan la...

Dalam besesak-sesak mahu ke Mid Valley Megamall, kami terpaksa bergelut dengan pelbagai ragam manusia. Apatah lagi hari ini merupakan hari minggu dan beberapa hari sahaja lagi Tahun Baru Cina akan menjelma. Maka ramailah orang yang berpusu-pusu untuk membeli belah. Kami mengambil komuter untuk sampai ke sana. Dalam kesesakan tersebut, aku sempat lagi melemparkan senyuman kepada seorang mak cik yang sedang duduk. Aku berdiri di hadapannya. Demi melihat aku yang sedang bersesak dikelilingi ramai orang, mak cik tersebut pun mempersilakan aku duduk. Pada mulanya aku agak segan dengan pelawaan mak cik tersebut, namun demi menjaga hatinya yang terpaksa berkongsi tempat duduk dengan cucunya, aku gagahi juga. Sampai sahaja di destinasi yang ingin kami tujui, aku pun mengucapkan terima kasih kepada mak cik tersebut.


Peristiwa kedua pula terjadi apabila aku sedang duduk menunggu komuter untuk pulang. Terdapat kerusi kosong bersebelahanku, namun aku membiarkannya kerana terdapat sebuah beg di atasnya. Kukira tempat tersebut dipunyai oleh orang lain, maka aku pun duduk di atas lantai bersebelahan kerusi tersebut. Aku menyedari bahawa terdapat seorang pelancong asing yang juga sedang menunggu komuter. Aku tidak menghiraukannya disebabkan keadaannya yang agak selekeh. Lalu aku duduk sambil berbual-bual dengan temanku.

Tiba-tiba kami disapa dari belakang.

Pelancong : Adik, abang...sila sini duduk.

Aku menoleh ke belakang. Rupa-rupanya si pelancong asing tadi menyapa kami supaya duduk di atas kerusi tersebut. Aku tersenyum kepadanya, dan mengucapakan terima kasih sahaja. Dalam hatiku timbul persoalan, baiknya budi bahasa dia walaupun salah!

Di sini aku mendapat dua pengajaran bahawa yang pertama, kita seharusnya hormat akan orang yang lebih tua daripada kita. Sebagai manusia, budi bicara tidak mengenal status dan pangkat seseorang. Yang menjadi tonggak utama ialah amalan yang dilakukan. Berapa banyak masyarakat kita sekarang yang tidak tahu menghormati orang tua, orang mengandung, OKU, dan ibu yang membawa anak kecil ketika berada di tempat awam, Sebagai contoh, jika seorang mak cik sedang berdiri di dalam komuter yang sangat sesak, manakala kita yang masih sihat sedang bersenang-lenang duduk sambil memerhatikan gelagat mak cik tersebut. Bagaimana jika mak cik tersebut adalah ibu kita sendiri? Tentu berdosakan kita???? Bagaimana pula dengan situasi yang dialami olehku tadi, sanggupkah kita mengucapkan terima kasih mahupun senyum kepada mak cik tersebut kerana malu dilihat oleh orang lain????

Pengajaran kedua pula ialah, jangan melihat seseorang berdasarkan luarannya sahaja. Memang aku silap kerana memandang sinis kepada pelancong asing tersebut. Namun, ternyata dia lebih mulia daripada segelintir masyarakat kita yang tidak tahu bertolak ansur. Aku kagum dengan sikap orang asing tersebut. Walaupun nahu tatabahasa Melayunya tunggang terbalik, namun dia tetap berusaha untuk berkomunikasi dengan sopan dengan warga tempatan seperti aku. Aku tabik kepadanya. 




Selain itu, dia juga pandai bersopan santun dan hormat akan masyarakat yang begitu asing baginya. Adakah kita seperti itu??? Adakah masyarakat kita sekarang yang tahu berbudi bahasa di tempat awam???

Oh ya, aku juga terdengar ada seorang lelaki yang menggunakan kata-kata kesat apabila orang ramai sedang berpusu-pusu berebut untuk menaiki komuter.

Lelaki : Sial, p*** mak betul. Bagilah orang keluar dulu!

Begitulah masyarakat kita. Bukannya mahu bertolak ansur, tapi lebih mementingkan diri sendiri. Apatah lagi menggunakan kata-kata yang kurang enak didengar. Bagaimana sekiranya pelancong asing yang faham akan kata-kata itu, tentu mereka melabelkan masyarakat Malaysia tidak bermoral dan berbudi bahasa bukan?

Oleh itu, tidak salah sekiranya kita berbahasa dengan sopan. Tidak kiralah siapa kita, asal dari mana dan sebagainya kerana budi bicara melambangkan peribadi kita. Cantik bahasa kita, maka cantiklah budi kita. Begitulah sebaliknya. Sekian, wassalam.



No comments:

Post a Comment