08 March 2011

SEMINAR..

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Sabtu lepas aku telah menghadiri satu diskusi ilmiah bertajuk "Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini". Antara tokoh bahasa yang memberikan ucapan ialah Prof. Emeritus Datuk Nik Safiah Karim, Encik Rusli Bin Abd. Ghani, dan Puan Norliza Jamaluddin.


Aku tertarik dengan ulasan yang diberikan oleh Prof. Nik Safiah mengenai Penghasilan Tatabahasa Dewan yang menjadi pegangan kepada semua guru Bahasa Melayu. Menurut beliau, tatabahasa ialah asas bagi pengungkapan buah fikiran dan perasaan, di samping sebutan yang jelas dan nada yang menarik serta meyakinkan (bagi bahasa lisan) dan tulisan serta ejaan yang baik (bagi bahasa tulisan).

Beliau turut memberikan konsep tatabahasa pegangan, sejarah ringkas penghasilan Tatabahasa Dewan dan beberapa persoalan kesempurnaan bahasa Melayu yang diselesaikan oleh Tatabahasa Dewan (dengan kerjasama ahli-ahli tatabahasa tempatan).

Antara persoalan kesempurnaan bahasa Melayu yang diselesaikan oleh Tatabahasa Dewan (dengan kerjasama ahli-ahli tatabahasa tempatan) ialah :

Sebelum terbit Tatabahasa Dewan, bahasa Melayu tidak seragam dan terdapat kepelbagaian dalam penggunaannya yang tidak dapat diselaraskan kerana ketiadaan sumber rujukan yang diperakukan oleh semua pihak. Penulis Tatabahasa Dewan cuba menyelesaikan aspek-aspek ini. Antaranya termasuklah :

  • Binaan ayat dalam bahasa Melayu.
  • Jumlah pola ayat dasar.
  • Golongan kata dalam bahasa Melayu.
  • Beberapa aspek morfologi, termasuk dalam hukum morfofonem bagi pengimbuhan dengan awalan meN- dan peN- dan penentuan bentuk-bentuk kata tertentu.
  • Penyelarasan istilah bagi konsep dan bentuk utama dalam tatabahasa bahasa Melayu.
  • Beberapa aspek ejaan yang sekian lama menimbulkan kekeliruan, antaranya :


- ejaan kata majmuk
- ejaan kata majmuk ganda dan berimbuhan
-ejaan kata pinjaman


Begitulah serba sedikit ilmu yang aku peroleh ketika mengikuti diskusi ilmiah tersebut. Bukan senang bagi ahli bahasa untuk menghasilkan sebuah buku Tatabahasa Dewan yang sangat berguna untuk kita semua. Mereka bertungkus-lumus dalam menyiapkan sebuah buku yang boleh digunapakai oleh segenap lapisan masyarakat. Aku sangat berbangga dengan adanya tokoh seperti ini yang sanggup bekorban demi kesenangan kita semua. Sebelum berpisah, Prof. Nik Safiah telah menyampaikan serangkap pantun berbunyi :

Orang mengail di lubuk batu,
Dapat seekor ikan gelama,
Hilang satu berganti satu,
Itulah di resam dunia.

Sekian, terima kasih.



HELLO??

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Terbiasa atau tidak sengaja? Itulah yang menjadi persoalan pokok apabila aku memikirkan sesuatu yang sudah sebati dalam hidup kita. Contohnya menjawab panggilan telefon.



Pasti kita akan memulakan sesuatu panggilan dengan kata sapaan "hello" bukan? Contohnya :


  • Apabila membuat panggilan ---> Hello, assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan ...
         
  • Menerima panggilan ---> Hello, waalaikumsalam. Siapa ni?
Kenapa mesti kata "hello" yang menjadi awal permulaan sesuatu bicara sedangkan kita dalam Islam telah ada istilah "Assalamualaikum"? Teringat aku tentang  salah seorang selebriti yang mengacarakan suatu rancangan televisyen. Beliau juga menggunakan istilah "hello" ketika program bermula, tetapi tidak menggunakan "Assalamualaikum" sedangkan beliau adalah seorang Islam.

Hal ini sememangnya tidak lain dan tidak bukan adalah akibat daripada pengaruh bahasa Inggeris yang telah meresap ke dalam jiwa kita. Begitu juga dengan perkataan "bye". Walaupun terdapat isu yang mengatakan bahawa perkataan tersebut tidak baik digunakan oleh orang Islam, namun akibat sudah biasa kadang kala lidah kita sering menyebutnya tanpa sengaja. Begitulah apabila budaya lain masuk ke dalam budaya kita. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memartabatkan agama Islam di samping menyampaikan suatu yang baik dalam kalangan kita.

07 March 2011

SELAMAT HARI WANITA

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari ini, 8 Mac 2011 merupakan Hari Wanita. Baru aku tahu adanya Hari Wanita sedangkan sebelum ini aku tidak pernah sedikit pun mengambil tahu. Biasa lah, sebelum ini aku masih lagu muda remaja. hehe..

Bersempena Hari Wanita ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita yang ke-100 kepada semua yang yang bergelar wanita. 


Memang banyak jasa dan pengorbanan seorang insan yang bergelar wanita bukan? Apatah lagi yang bekerjaya dan mempunyai rumahtangga yang perlu diuruskan dengan kerenah suami dan anak-anak. Memang berat sebenarnya tugas wanita jika dibandingkan dengan lelaki.

Aku tertarik dengan suatu panggilan yang dibuat oleh seorang pendengar radio Hot.fm pagi tadi. Tajuknya begini...Kerana seorang wanita aku... Begitulah tajuknya. Apabila salah seorang pendengar ini menelefon, beliau telah menceritakan kisah percintaannya. Disebabkan seorang wanita yang kini menjadi isterinya, dia telah menghadapi hari-hari yang sukar dengan begitu baik. Isterinya telah banyak bekorban demi rumahtangga mereka kerana beliau telah disahkan menghidap penyakit usus besar. Sepanjang perkenalan mereka, wanita tersebut sanggup mengambil keputusan untuk mendirikan masjid dengan beliau walaupun tahu akan penyakitnya itu. 

Sangat besar pengorbanan wanita itu bukan? Demi cinta dan kasih sayang, dia sanggup bekorban. Sanggupkah kita bekorban sebegitu?

Aku ingin menyimpulkan bahawa, kita sebagai manusia telah ditentukan Qada dan Qadarnya. Jika Dia telah menentukan jodoh kita, maka kita harus menerimanya dengan hati yang terbuka. Tidak semua manusia itu sempurna dan yang sempurna hanyalah Allah S.W.T. 

Begitu juga dalam pergaulan kita dengan masyarakat. Kita seharusnya menjaga adab dan sopan supaya dipandang mulia sebagai seorang wanita. Wanita adalah hiasan dunia, dan sebaik-baik wanita adalah wanita solehah. Setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut kita turut melambangkan identiti kita sendiri. Jika buruk, buruklah yang akan dipandang. Jika baik, maka baiklah semuanya. Semua bergantung kepada diri kita sendiri sebagai seorang wanita. Oleh itu, renung-renungkan dan selamat beramal sebagai seorang wanita sejati yang taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Sekian.