08 March 2011

SEMINAR..

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Sabtu lepas aku telah menghadiri satu diskusi ilmiah bertajuk "Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini". Antara tokoh bahasa yang memberikan ucapan ialah Prof. Emeritus Datuk Nik Safiah Karim, Encik Rusli Bin Abd. Ghani, dan Puan Norliza Jamaluddin.


Aku tertarik dengan ulasan yang diberikan oleh Prof. Nik Safiah mengenai Penghasilan Tatabahasa Dewan yang menjadi pegangan kepada semua guru Bahasa Melayu. Menurut beliau, tatabahasa ialah asas bagi pengungkapan buah fikiran dan perasaan, di samping sebutan yang jelas dan nada yang menarik serta meyakinkan (bagi bahasa lisan) dan tulisan serta ejaan yang baik (bagi bahasa tulisan).

Beliau turut memberikan konsep tatabahasa pegangan, sejarah ringkas penghasilan Tatabahasa Dewan dan beberapa persoalan kesempurnaan bahasa Melayu yang diselesaikan oleh Tatabahasa Dewan (dengan kerjasama ahli-ahli tatabahasa tempatan).

Antara persoalan kesempurnaan bahasa Melayu yang diselesaikan oleh Tatabahasa Dewan (dengan kerjasama ahli-ahli tatabahasa tempatan) ialah :

Sebelum terbit Tatabahasa Dewan, bahasa Melayu tidak seragam dan terdapat kepelbagaian dalam penggunaannya yang tidak dapat diselaraskan kerana ketiadaan sumber rujukan yang diperakukan oleh semua pihak. Penulis Tatabahasa Dewan cuba menyelesaikan aspek-aspek ini. Antaranya termasuklah :

  • Binaan ayat dalam bahasa Melayu.
  • Jumlah pola ayat dasar.
  • Golongan kata dalam bahasa Melayu.
  • Beberapa aspek morfologi, termasuk dalam hukum morfofonem bagi pengimbuhan dengan awalan meN- dan peN- dan penentuan bentuk-bentuk kata tertentu.
  • Penyelarasan istilah bagi konsep dan bentuk utama dalam tatabahasa bahasa Melayu.
  • Beberapa aspek ejaan yang sekian lama menimbulkan kekeliruan, antaranya :


- ejaan kata majmuk
- ejaan kata majmuk ganda dan berimbuhan
-ejaan kata pinjaman


Begitulah serba sedikit ilmu yang aku peroleh ketika mengikuti diskusi ilmiah tersebut. Bukan senang bagi ahli bahasa untuk menghasilkan sebuah buku Tatabahasa Dewan yang sangat berguna untuk kita semua. Mereka bertungkus-lumus dalam menyiapkan sebuah buku yang boleh digunapakai oleh segenap lapisan masyarakat. Aku sangat berbangga dengan adanya tokoh seperti ini yang sanggup bekorban demi kesenangan kita semua. Sebelum berpisah, Prof. Nik Safiah telah menyampaikan serangkap pantun berbunyi :

Orang mengail di lubuk batu,
Dapat seekor ikan gelama,
Hilang satu berganti satu,
Itulah di resam dunia.

Sekian, terima kasih.



No comments:

Post a Comment