28 January 2011

BAHASA DAN SASTERA

INDAHNYA ALAM

Kudongak ke langit
Biru...cukup indah
Bagaikan menceritakan sebuah hikayat
Ceritera kayangan
Ukiran yang pelbagai
Seolah-olah ada kisah di sebaliknya
Inginku teroka
Tapi bukan masanya...

Kulihat ke kiri
Hutan yang tebal
Hening menghijau
Unggas-unggas beterbangan
Riang bermain
Seperti kanak-kanak bermain di taman
Flora saling mekar
Seperti pertandingan ratu dunia
Indah...cukup indah.

Kutoleh  ke kanan
Laut yang membiru
Tenang...damai...
Desiran ombak memecah pantai
Bagaikan saling bekerjasama
Tiada rasa cemburu
Tiada rasa dendam
Bagaikan buih-buih memutih
yang belum dinodai..

Kuberpaling ke belakang
Gunung-ganang megah berdiri
Hijau, bagaikan warna di syurga
Terkadang mentari pagi muncul menyinari
di celah-celah gunung yang memberi seribu erti
Erti yang kusendiri tidak mengerti.

Ketika orang lain sedang bersiap-siap untuk pulang ke kampung halaman, aku pula lebih sibuk menyiapkan segala tugasan. Bukan sengaja tidak mahu pulang, tetapi atas beberapa faktor yang menghalang, aku terpaksa mengambil keputusan untuk terus tinggal di KHAR ini.

Aku telah menyiapkan satu antologi sajak yang terdiri daripada pelbagai tema seperti patriotisme, persahabatan, percintaan dan juga alam. Semua ini gara-gara tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah subjek Keterampilan Penulis. Disebabkan sedikit minat aku terhadap sastera, aku telah berjaya menghasilkan 20 buah sajak dalam masa 2 jam. Puas rasanya dapat menghasilkan karya mengikut buah fikiran aku sendiri.

Seperti sajak di atas, aku namakan sajak tersebut dengan Indahnya Alam. Indah bukan alam ciptaan kita ini? Begitu juga bahasa. Sangat indah. Bahasa dan sastera memang tidak dapar dipisahkan. Bak kata P.Ramlee bagai irama dan lagu. Tiada bahasa, maka tiada jugalah sastera. Begitulah sebaliknya. Dalam berbahasa juga kita dapat mengungkap sesuatu ujaran dengan lebih teratur dan kemas. Dengan sastera pula kita dapat menyampaikan maksud sesuatu itu dengan lebih sopan dan indah. 

Dalam sajak di atas, aku telah kemukakan diksi-diksi alam bagi menyatakan perasaanku tentang alam yang cukup indah ini. Bertapa bersyukurnya aku dapat hidup dan menghirup udara yang segar di atas bumi Tuhan. Begitulah yang mahu aku ungkapkan. Dengan sastera aku dapat menghasilkan sebuah sajak yang begitu puitis. Dengan bahasa pula, kata-kata yang tersusun dan teratur dapat aku gunakan untuk mengungkapkan perasaanku.

Oleh itu, kita seharusnya bersyukur dengan segala yang kita ada. Kita dikurniakan bahasa yang indah dan cantik bagi menyampaikan maksud sama ada tersurat mahupun tersirat. Bahasa jiwa bangsa, maka bangsa seperti kitalah yang harus mencoraknya sebaik mungkin. Wassalam.



No comments:

Post a Comment