07 March 2011

MAAF TAK TERUNGKAP


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baru sahaja selesai mengikuti kelas Pembangunan Modal Insan sebentar tadi. Walaupun kelas tersebut hanya sekejap sahaja, namun isi kandungannya amat menyentuh perasaan aku. Manakan tidak, Dr. Azhar telah memberikan beberapa ciri penting dalam pembangunan sosial dalam masyarakay umum. Antaranya ialah :

  • Menghormati jiran
  • Menjadi contoh tauladan yang baik
  • Tolong-menolong dalam perkara takwa
  • Nasihat-menasihati sesama insan
  • Menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran
  • Menjaga kehormatan dan hak-hak lain
  • Mencegah kezaliman
  • Menutup keaiban sesama Islam yang lain
  • Memenuhi hajat
  • Mendamaikan pemusuhan sesama manusia
  • Bersikap lemah lembut, mengasihi dan merendah diri
  • Memuliakan ulama
  • Bersahabat dengan orang baik-baik
  • Menyintai sesama seIslam

Seperti yang kita tahu, dengan modal insanlah dapat membentuk peribadi kita yang mulia. Dengan modal insan juga kita dapat menghalang diri daripada melakukan sesuatu kemungkaran. Aku tertarik dengan kata-kata daripada Dr. Azhar sebentar tadi mengenai "Maaf".





Dr. Azhar ada menyatakan bahawa tidak ramai dalam kalangan kita yang sanggup mengucapkan kata "Maaf" apabila melakukan kesilapan. Ada juga yang malu-malu atau ego untuk menuturkan kalimah tersebut. Namun menurut beliau, dengan perkataan "Maaf" juga dapat mengikat tali perhubungan sesama kita. Hal ini demikian kerana, terasa sejuk hati apabila seseorang yang telah melakukan kesilapan sanggup mengakui kesilapannya dengan memohon kemaafan. Bukankah kita disuruh supaya memaafkan orang lain dan tidak berdendam?

Kita dapat melihat betapa tingginya nilai kemaafan dalam masyarakat kita. "Maaf" bukan sekadar di hari raya atau haro-hari tertentu, tetapi pada bila-bila masa tau di mana jua. Kita tidak perlu ego dengan diri kita kerana   semua orang sama sahaja tarafnya di sisi Allah S.W.T. Oleh itu, marilah kita sama-sama menginsafi diri dan memaafkan semua kesalahan orang lain. Sekian.


No comments:

Post a Comment