Showing posts with label AKU DAN SEKELILING. Show all posts
Showing posts with label AKU DAN SEKELILING. Show all posts

07 March 2011

SINDIRAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Adat manusia, pasti ada sahaja yang suka bercakap-cakap belakang. Apabila disuruh berhadapan, tidak pula beraninya. Aku pun kadang-kalan pelik dengan perangai manusia sebegini.

Ketika aku dalam kelas sebentar tadi, aku telah disindir oleh seorang rakan. Hal ini disebabkan oleh aku tertidur dan tidak dapat hadir ke jamuan makan rakanku semalam. Aku sudah meminta maaf kepada rakan tersebut, dan mengakui kesilapanku.

Aku tahu ramai yang sering bercakap belakang dan menyindir. Namun, apa yang aku lakukan hanyalah berdiam diri dan hanya memekakkan telinga sahaja. Seperti kata pepatah, masuk telinga kanan keluar telinga kiri.



Begitu juga dengan masyarakat terdahulu yang gemar menggunakan bahasa tertentu sebagai sindiran. Ada dalam kalangan mereka menggunakan unsur alam bagi menyampaikan maksud yang hendak diperkatakan. Sangat menarik lagi apabila mereka bijak dalam menggunakan bahasa tersebut dengan berbunga-bunga.

Antaranya ialah dalam bentuk pantun :


Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal,
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Maksud : Isteri yang cantik tidak dianggap sempurna sekiranya tidak pandai menguruskan kerja-keja di dapur.

Dari Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap,
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai membaca kitab.

Maksud : Kitab selalunya dibaca oleh orang yang berpengetahuan. Oleh itu, jika orang yang dianggap  tidak berilmu menunjukkan kemahirannya, pihak lain pasti akan ketawa kerana tidak percaya.

Begitulah serba sedikit tentang bahasa sindiran yang digunakan oleh masyarakat terdahulu dan masih digunakan sehingga kini. Bahasa sindiran tidak hanya terdiri daripada pantun sahaja, tetapi turut terdiri daripada peribahasa, pepatah, perbilangan, bidalan dan perumpamaan. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya pandai menilai setiap maksud yang ingin disampaikan supaya tidak terkeluar daripada batasannya dan demi menjaga hati seseorang. Sekian.

HOI...!

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Ketika aku berjalan menuju ke tempat menunggu bas, aku telah menyapa seorang rakan yang sedang duduk menunggu bas juga.






Aku : Hai Datuk.

Aliza : Hoi!

Aku : Amboi, hoi...

Aliza : Biasa la...

Selepas itu aku pun membiarkan dia melayan telefon bimbitnya. Ternyata apabila kita menegur seseorang dari arah belakang mahupun hadapan, secara tidak sengaja akan keluar perkataan yang kurang enak untuk didengar. Walaupun kita memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang biasa dalam kalangan rakan, namun hal itu akan menjadi luar biasa apabila kita berada di luar dari kelompok masyarakat yang berbeza. Seperti kata seorang ustaz ketika aku belajar di sekolah menengah dahulu, "Benda kalau dilatih nanti akan jadi melatah". Betul juga katanya. Sekiranya kita sudah terbiasa dengan perkara tersebut dengan berulang kali, maka hal itu akan menjadi kebiasaan begitu juga dengan melatah.

Agak kurang enak sekiranya kita menegur secara baik tetapi dibalas dengan perkataan yang kurang baik. Sntara perkataan lain yang agak kurang sedap didengar ialah :

Bodoh

Sengal

Bangang

Perkataan sebegini sudah biasa kita dengar dalam kalangan remaja yang suka mengikut darah muda mereka. Sekiranya berlaku sesuatu perkara yang menyakitkan hati, kata-kata tersebut akan terkeluar daripada mulut mereka. Oleh itu, marilah kita sama-sama membiasakan diri dengan perkara yang baik-baik supaya tidak menjadi yang tidak baik di kemudian hari. Sekian.


03 March 2011

MY...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...



Sedang aku membelek-belek kad pengenalanku, tiba-tiba aku terfikir akan satu perkara. Mengapa My Kad? Mengapa bukan Kad Saya? Bukankah "my" itu perkataan Inggeris yang bermaksud saya? Kenapa perlu digabungkan perkataan Inggeris dengan perkataan Melayu?

Ini pula jawapan bagi persoalanku tadi yang dipetik daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/MyKad :

Perkataan ‘MyKad’ mempunyai maksud yang tersendiri. Perkataan ‘My’ bererti Malaysia dan juga kata ganti nama kepunyaanku dalam bahasa Inggeris. Perkataan ‘Kad’ pula boleh bermaksud kad ataupun singkatan kepada ‘Kad Akuan Diri’.


MyKid pula adalah seperti berikut :

Mulai 1 Januari 2005, semua bayi yang lahir turut diberikan kad pengenalan tanpa gambar berwarna merah jambu dipanggil MyKid. Perkataan 'Kid' bermaksud 'Kad Identiti Diri' dan juga bermaksud 'budak' dalam bahasa Inggeris. Tujuan MyKid adalah sebagai ganti sijil kelahiran, yang bermakna bayi tersebut tidak lagi mempunyai nombor sijil kelahiran, sebaliknya diberikan terus nombor kad pengenalan yang akan digunakan dalam MyKad.

Begitu rupanya yang dimaksudkan dengan MyKad dan MyKid. Terdapat akronim yang digunakan bagi kedua-dua kad tersebut yang sudah sebati dalam diri kita dan digunakan untuk tujuan rasmi. Oleh itu, sangatlah menjadi kebanggaanku apabila Malaysia dikatakan satu-satunya negara pertama di dunia yang menggunakan kad pengenalan dan pasport yang menggabungkan teknologi cip dan biometrik terkini untuk meningkatkan keselamatan dan kesahihan pemiliknya. Aku bangga menjadi anak Malaysia!

26 February 2011

ADAB KITA..

Sering kali apabila kita berdepan dengan orang yang lebih tua atau ibu bapa kita, kita akan tunduk atau menyapa mereka. Kita sering juga mengucapkan "salam", "terima kasih", "apa khabar" dan sebagainya. Hal ini sememangnya menunjukkan sikap kita yang beradab dan tahu akan sopan dan santun dalam kehidupan.




Tetapi ada juga dalam kalangan kita yang tidak tahu berterima kasih. Contohnya pagi tadi ketika aku dalam perjalanan ke kampus. Aku menaiki bas yang sangat sesak. Ketika mahu turun, ada segelintir pelajar yang tidak tahu berterima kasih kepada Pak Cik pemandu bas yang sanggup berulang-alik mengambil pelajar ke sana sini. 

Sangatlah sedih sekiranya situasi tersebut berlaku dalam kalangan kita. Apatah lagi kita sebagai guru yang bakal mendidik anak bangsa. Begitu juga dengan ibu bapa kita yang telah banyak bekorban masa, wang dan tenaga menyekolahkan kita. Kita sepatutnya banyak berterima kasih kepada mereka. Tidak kiralah di mana dan dengan siapa kita berada kerana tanpa mereka siapalah kita. Sekian.

29 January 2011

ORANG BERBUDI,KITA BERBAHASA...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari ini, 29 Januari 2011 aku berkesempatan untuk membeli belah di Kuala Lumpur. Apatah lagi wang pinjaman sudah dikreditkan kepada pelajar, apa lagi...shoping sakan la...

Dalam besesak-sesak mahu ke Mid Valley Megamall, kami terpaksa bergelut dengan pelbagai ragam manusia. Apatah lagi hari ini merupakan hari minggu dan beberapa hari sahaja lagi Tahun Baru Cina akan menjelma. Maka ramailah orang yang berpusu-pusu untuk membeli belah. Kami mengambil komuter untuk sampai ke sana. Dalam kesesakan tersebut, aku sempat lagi melemparkan senyuman kepada seorang mak cik yang sedang duduk. Aku berdiri di hadapannya. Demi melihat aku yang sedang bersesak dikelilingi ramai orang, mak cik tersebut pun mempersilakan aku duduk. Pada mulanya aku agak segan dengan pelawaan mak cik tersebut, namun demi menjaga hatinya yang terpaksa berkongsi tempat duduk dengan cucunya, aku gagahi juga. Sampai sahaja di destinasi yang ingin kami tujui, aku pun mengucapkan terima kasih kepada mak cik tersebut.


Peristiwa kedua pula terjadi apabila aku sedang duduk menunggu komuter untuk pulang. Terdapat kerusi kosong bersebelahanku, namun aku membiarkannya kerana terdapat sebuah beg di atasnya. Kukira tempat tersebut dipunyai oleh orang lain, maka aku pun duduk di atas lantai bersebelahan kerusi tersebut. Aku menyedari bahawa terdapat seorang pelancong asing yang juga sedang menunggu komuter. Aku tidak menghiraukannya disebabkan keadaannya yang agak selekeh. Lalu aku duduk sambil berbual-bual dengan temanku.

Tiba-tiba kami disapa dari belakang.

Pelancong : Adik, abang...sila sini duduk.

Aku menoleh ke belakang. Rupa-rupanya si pelancong asing tadi menyapa kami supaya duduk di atas kerusi tersebut. Aku tersenyum kepadanya, dan mengucapakan terima kasih sahaja. Dalam hatiku timbul persoalan, baiknya budi bahasa dia walaupun salah!

Di sini aku mendapat dua pengajaran bahawa yang pertama, kita seharusnya hormat akan orang yang lebih tua daripada kita. Sebagai manusia, budi bicara tidak mengenal status dan pangkat seseorang. Yang menjadi tonggak utama ialah amalan yang dilakukan. Berapa banyak masyarakat kita sekarang yang tidak tahu menghormati orang tua, orang mengandung, OKU, dan ibu yang membawa anak kecil ketika berada di tempat awam, Sebagai contoh, jika seorang mak cik sedang berdiri di dalam komuter yang sangat sesak, manakala kita yang masih sihat sedang bersenang-lenang duduk sambil memerhatikan gelagat mak cik tersebut. Bagaimana jika mak cik tersebut adalah ibu kita sendiri? Tentu berdosakan kita???? Bagaimana pula dengan situasi yang dialami olehku tadi, sanggupkah kita mengucapkan terima kasih mahupun senyum kepada mak cik tersebut kerana malu dilihat oleh orang lain????

Pengajaran kedua pula ialah, jangan melihat seseorang berdasarkan luarannya sahaja. Memang aku silap kerana memandang sinis kepada pelancong asing tersebut. Namun, ternyata dia lebih mulia daripada segelintir masyarakat kita yang tidak tahu bertolak ansur. Aku kagum dengan sikap orang asing tersebut. Walaupun nahu tatabahasa Melayunya tunggang terbalik, namun dia tetap berusaha untuk berkomunikasi dengan sopan dengan warga tempatan seperti aku. Aku tabik kepadanya. 




Selain itu, dia juga pandai bersopan santun dan hormat akan masyarakat yang begitu asing baginya. Adakah kita seperti itu??? Adakah masyarakat kita sekarang yang tahu berbudi bahasa di tempat awam???

Oh ya, aku juga terdengar ada seorang lelaki yang menggunakan kata-kata kesat apabila orang ramai sedang berpusu-pusu berebut untuk menaiki komuter.

Lelaki : Sial, p*** mak betul. Bagilah orang keluar dulu!

Begitulah masyarakat kita. Bukannya mahu bertolak ansur, tapi lebih mementingkan diri sendiri. Apatah lagi menggunakan kata-kata yang kurang enak didengar. Bagaimana sekiranya pelancong asing yang faham akan kata-kata itu, tentu mereka melabelkan masyarakat Malaysia tidak bermoral dan berbudi bahasa bukan?

Oleh itu, tidak salah sekiranya kita berbahasa dengan sopan. Tidak kiralah siapa kita, asal dari mana dan sebagainya kerana budi bicara melambangkan peribadi kita. Cantik bahasa kita, maka cantiklah budi kita. Begitulah sebaliknya. Sekian, wassalam.



25 January 2011

MARAH DAN AMARAH..

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...

Letih, sungguh letih. Minggu yang terpaksa berkejar-kejaran ke sana dan ke sini. Ini gara-gara EDU! Mahu sahaja aku menangis...

Hari ini juga merupakan hari yang betul-betul buat aku GERAM. Entah kenapa dan mengapa, rasa BENCI makin membuak-buak kepada hamba ALLAH yang seorang itu. Pandai berjanji, tapi dia mungkiri. Pandai berkata-kata, tapai tak dikota. Bukanny orang yang tidak berpalajaran, tapi sudah sampai tahap PhD!

Lupakan seketika mengenainya. Alkisah, ketika berada di fakulti kira-kira jam 10.45 pagi tadi, aku bergegas ke bilik salah seorang pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi kerana telah membuat janji temu dengannya semalam. Aku ingin mengambil semula folio ROS daripada beliau. Malangnya, beliau tiada di bilik.Tak mengapalah, itu bukan tujuan aku yang sebenar. Tujuan aku adalah untuk berjumpa dengan seorang lagi pensyarah untuk menunjukkan Rancangan Mengajar kepadanya. Aku telahpun pergi untuk bertemunya semalam, namun macam-macam alasan yang diberikannya. Hari ini juga sama, aku pun sudah putus asa.

Nak dijadikan cerita, aku yang dari tadi mahu ke tandas kerana kes kecemasan terpaksalah ke tandas staf di fakulti tersebut. Setelah selesai, sahabatku pulak mengambil gilirannya. Tiba-tiba datanglah seorang "mak cik" yang tergesa-gesa mahu ke tandas juga. Namun malangnya, ketiga-tiga tandas  berkunci. Aku yang sedang membetul-betulkan tudung pun dimarahinya :

MAK CIK : You all ni staf ke? (dengan nada marah)

AKU : Tak. (ketakutan)

MAK CIK : Habis, tak reti nak baca kat luar tu ke?

AKU : Emergency tadi, maaf.

MAK CIK : Tandas sebelah kan ada!

Aku yang ketakutan terus mencapai beg lalu keluar dengan muka masam mencuka. 


Ya, memang kami salah sebab telah msuk ke dalam tandas staf. Dan aku pun telah minta maaf kepada beliau. Namun, begitukah sikap seorang yang berpendidikan, menggunakan kata-kata yang kurang sopan kepada anak bangsa sendiri? Tidakkah beliau tahu berbudi bahasa, menegur dengan cara yang berhikmah? Sedangkan di situ adalah tempat yang lahirnya para cendekiawan bahasa, salahkah jika beliau menggunakan bahasa yang elok untuk menegur?

Di sini aku dapat membuat rumusan bahawa, tidak semua orang yang berpendidikan tinggi tahu akan nilai-nilai berbudi bahasa. Mereka hanya tahu mengajar, tetapi tidak pula pandai mengaplikasikannya dalam kehidupan sendiri. Salahkah sekiranya anak bangsa menjadi begitu dek sikap pendidik sendiri yang tidak pandai berbudi bahasa? Renung-renungkan dan selamat beramal. 

18 January 2011

SEDAP TAK SEDAP..

Assalamualaikum semua..
Wah..wah..wah..bersemangat rasanya nak menulis ni.Tapi idea sekejap ada, sekejap tak ada. Macam Chipsmore pulak..Apa pun, syabas diucapkan kepada semua rakan yang telah berjaya menulis diari dalam blog masing-masing.

Oh ya, bercakap mengenai sedap. Tentu ramai yang memikirkan tentang makanan bukan? Aku juga begitu. Teringat pula lawak jenaka yang sering diucapkan oleh Prof. Hamid ketika aku berada di semester dua. Setiap kali beliau menyuruh dalam kalangan kami untuk membaca sesuatu, pasti akan diucapkan perkataan sedap sebanyak tiga kali...Sedap, sedap, sedap.Macam si kecil Upin dan Ipin pula!


Berbalik kepada tajuk di atas. Orang-orang tua dahulu sering menegur kita dengan kata-kata yang manis. Kalau kita salah, sudah tentu mereka akan memerli, amboi, sedapnya bahasa! Begitulah orang kita. Sinis tapi memberi makna yang berkesan dalam hidup. 

Ingin aku ceritakan satu kisah yang agak menarik hari ini. Sedang asyik menunggu bas untuk ke kelas, kami berborak-borak seketika untuk menghilangkan rasa bosan. Tiba-tiba terdengar rakanku merungut. Tugasan banyak! Tak larat nak buat! Pinjaman tak masuk! Mampus la macam ni! 
Seorang lagi menyambung, **** buat apa dengan duit kita, mentekedaqah kot! Ingat kita ni anak Tan Sri, Dato'? 
Dalam hatiku, amboi dia ni...bahasa!

Ingin kukatakan di sini, memang kadang-kala kita tidak sedar akan apa yang kita ucapkan. Apatah lagi dalam keadaan marah. Namun harus diingat, kita sebagai bakal pendidik haruslah menjaga tatasusila percakapan agar tidak dipandang serong oleh masyarakat. Sedangkan kita yang mendengarnya lagi sakit telinga, inikan pula orang lain. Jadi, renung-renungkan dan selamat beramal...

Sebelum berpisah, marilah kita renungi mesej yang cuba disampaikan dalam lagu nyanyian Dato' Siti Nurhaliza ini :-)