Showing posts with label AKU DAN BAHASA. Show all posts
Showing posts with label AKU DAN BAHASA. Show all posts

07 March 2011

KEJULINGAN INTELEKTUAL

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Tertarik, menarik kau memang da bomb! Itulah yang dapat aku gambarkan apabila membaca setiap entri yang ditulis oleh tokoh bahasa kita iaitu Prof. Emritus Abdullah Hassan yang lebih dikenali sebagai Prof. Dollah dalam kalangan kami. 



Apa yang menariknya ialah beliau telah memperkenalkan istilah Kejulingan Intelektual dalam setiap pos yang dimuat naik olehnya. Antaranya ialah :


  • Pergantungan mutlak kepada bahasa Inggeris akan menyebabkan kita buta pada karya penulis dan pemikir wilayah sendiri.

  • Dua tahun dulu pemerintah Taiwan memperuntukkan USD 65 juta bagi membangunkan industri e-book. Kini Taiwan menjadi pemain terbesar di dunia dalam menghasilkan pemaparan e-paper untuk Amazon's Kindle dan Sony's e-Reader.

    Tidak pula kedengaran mereka sibuk membawa masuk siswa asing supaya siswanya dapat berlawan bertutur bahasa Inggeris.



  • WEDNESDAY, JULY 05, 2006: 70% Public University Graduates Jobless (!)

    Whoa! I think even the most cynical amongst us out there would have been shaken by such a staggering number of unemployed graduates. I mean how can more than half of our graduates be unemployed! (Daripada blog Education in Malaysia)

    And ...

    You think they don't teach in English? Well, UITM does conduct courses in English. And it tops the unemployment list!

    Just a note: 342 foreign students do not get employed too!! I thought you said they are good in English and we all should learn English from them. That is what I call poetic justice!

    Another thing! Why should they be our problem? Shouldn't they leave for home after completing their education here.

    Aren't we weird!!! Yes we are! Are we???

    Kasihan bangsaku. Sudah tidak keruan lagi. Baliklah ke pangkal jalan!

Begitulah serba sedikit yang sempat aku ambil daripada Facebook Prof. Dollah. Maaf Prof, saya hanya ingin berkongsi.

Aku amat tertarik dengan istilah "Kejulingan Intelektual" yang digunakan oleh beliau. Ternyata masyarakat kita sekarang sudah juling dalam memartabatkan bahasa ibunda sendiri. Manakan tidak, bahasa Melayu dianaktirikan manakala bahasa Inggeris disusukan. Bukankah kita sekarang sudah juling dalam menilai semua itu? Memang patut istilah ini digunakan bagi menyindir sesetengah pihak akan betapa terang lagi bersuluh akan  kejulingan kita dalam menggunakan bahasa asing daripada bahasa sendiri. Oleh itu, aku sangat bersetuju dengan Prof. Dollah dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kita sendiri. Sekian.



PERIBAHASA

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Masyarakat Melayu memang terkenal dengan sopan santunnya. Begitu juga apabila berbahasa. Orang tua terdahulu banyak menggunakan peribahasa dalam komunikasi seharian bagi menyampaikan sesuatu maksud. Ada juga yang menggunakan peribahasa untuk menyindir seseorang individu atau pemimpin. Antara peribahasa yang terkenal ialah :


Ada air, adalah ikan.Ada negeri tentulah ada rakyatnya.
Ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang.Kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, setelah berjauhan lalu dilupakan.
Ada angin, ada pokoknya (= pohonnya).Segala sesuatu mestilah ada asal mulanya.
Ada bangkai, adalah hering.Ada perempuan jahat, adalah lelaki jahat yang mengunjunginya.
Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh.Di mana juga kita tinggal, akan ada rezeki kita.
Ada batang, cendawan tumbuh.Tiap-tiap negeri ada undang-undang dan adat resamnya masing-masing.
Ada beras, taruh dalam padi.Rahsia hendaklah disimpan baik-baik.
Ada biduk, serempu pula.Tidak puas dengan apa yang sudah dimiliki.
Ada bukit, ada paya.Ada baik, ada jahat; ada miskin, ada kaya.
Engkau belum mencapai pengayuh, aku telah sampai seberang.Tujuan telah lebih dulu diketahui hanya dengan melihat tingkah laku atau bicaranya saja.
entak sedegam, langkah sepijak.Seia-sekata; semuafakat. (degam = bunyi gemuruh.)
Entimun bongkok.Tidak masuk hitungan dalam pergaulan.
Esa hilang, dua terbilang.Berusaha dengan keazaman yang bersungguh-sungguh dan tidak takut menanggung risikonya.
Fikir itu Pelita hati.Fikiran suluh kebenaran.
Gabak di hulu tanda akan hujan, cewang di langit tanda akan panas.Ada tanda-tanda yang menunjukkan akan terjadi sesuatu hal. (gabak = redup.)
Gadai terdorong ke (pada) Cina.Telah terlanjur, tidak dapat dicabut atau ditarik kembali.
Gadai terdorong ke pajak, sehari sebulan juga.Perbuatan yang terlanjur, sekalipun sedikit akibatnya sama juga dengan yang besar.
Gading pada gajah yang sudah keluar itu bolehkah dimasukkan pula?Raja-raja (orang besar-besar) yang telah turun derajatnya (darjatnya), tak mungkin mencapai kembali martabatnya itu; sesuatu yang sudah ditetapkan (undang-undang, keputusan dan sebagainya) tiadalah dapat diubah lagi.
Gagak bersuara murai.Rupanya hodoh tetapi suaranya merdu dan baik budi bahasanya.
Gagak dimandikan tujuh kali sehari pun, takkan putih bulunya.Orang jahat, biarpun diberi kesenangan, namun kalau mendapat kesempatan akan diulangnya juga perbuatan jahatnya itu.
Gagak lalu punggur rebah.Orang besar yang berlaku kurang adil kepada orang kecil, kerana mahu memperlihatkan kekuasaannya.
Gaharu dibakar kemenyan berbau.Memperlihatkan kelebihannya supaya dipercayai orang.




Kebanyakan peribahasa terdahulu mengambil unsur alam atau keadaan sekeliling sebagai simbol perbandingan. Namun demikian, setiap peribahasa yang dipilih adalah sangat bertepatan dengan maksud yang ingin disampaikan. Jadi tidak hairanlah sekiranya ada dalam kalangan masyarakat terdahulu yang masih lagi mengamalkan peribahasa ketika berbicara dengan kita.

05 March 2011

DIALEK KITA...PENEGAS

Assalamualaikum dan selamat pagi...

Dialek Kedah sememangnya terkenal dengan kata penegasnya. Jadi tidak hairanlah sekiranya ada dalam kalangan rakyat Kedah yang menggunakan kata-kata penegas dalam pengucapannya. Terdapat beberapa jenis kata penegas dalam dialek Kedah, antaranya ialah :

noh
naa
nayh

Fungsi ketiga-tiga kata penegas di atas adalah sama, namun berbeza dari segi fonologinya. Antara contoh ayat yang sering menggunakan kata penegas dalam dialek Kedah ialah :

Buat tak tau sudah noh.

Nanti hang mai qumah aku naa.

Hang tolong aku buat qeja nayh.


Terdapat juga kata penegas yang digunakan dalam menggambarkan sesuatu kata nama. Contohnya :

Merah ang-ang

Panas lip-lip

Masin pekak

Tawaq hebiaq

Kadang kala, bagi sesiapa yang baru membiasakan diri dengan dialek Kedah, mereka pasti tidak dapat membezakan antara contoh kata penegas tersebut. Oleh itu, aku ingin sarankan agar sentiasalah berbual dengan orang Kedah yang sangat peramah dan berbudi bahasa. Sekian.





04 March 2011

PRAGMATIK..

Assalamualaikum dan salam sejahtera..


"Awal mai kelas..."


Begitulah kata-kata yang terpacul dari mulut rakanku ketika aku baru sahaja tiba ke kelas. Disebabkan rasa tidak sedap badan, aku terpaksa lewat ke kelas. Aku hanya tersengih ketika dia menyapa dengan ayat tersebut.



Teringat aku akan apa yang dimaksudkan dengan pragmatik yang di dalamnya terkandung salah satu elemen iaitu  pertuturan (speech act). Salah satu cara yang mana bahasa digunakan untuk menyampaikan maklumat bagi makna pengucapan harfiah adalah melalui speech act. Sesuatu ucapan hanya mempunyai makna sekiranya kita dapat menentukan kebenarannya. Makna sesuatu ujaran bergantung kepada pemakaiannya.

Berdasarkan ayat yang diucapkan oleh rakanku tadi, aku dapat mengagak bahawa dia telah menggunakan speech act bagi memerliku. Jika dilihat dari makna dari dasar lokasinya, ayat tersebut menyatakan kebenaran bahawa memang benar aku datang awal ke kelas. Sekiranya dilihat dari segi daya yang ditimbulkan oleh kalimat itu ilokasi, kalimat ini bersifat pujian sekiranya betul aku datang awal ke kelas dan berisi ejekan sekiranya aku datang lewat ke kelas.

Orang Melayu memang pandai menggunakan sindiran bagi memerli seseorang. Agak tidak sopan sekiranya sesuatu perkara disampaikan secara terang-terangan. Oleh itu, unsur pragmatik digunakan bagi menyampaikan sesuatu makna yang di luar daripada nahu tatabahasa. 

Sekian.


03 March 2011

PPSMI..

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Mungkin isu PPSMI agak ketinggalan untuk dibicarakan ketika ini. Namun, sebentar tadi ketika aku sedang asyik melayari http://www.iluvislam.com/berita/malaysia/1772-sains-dan-matematik-tidak-lunturkan-semangat-patriotik.html aku terbaca satu artikel berkaitan PPSMI. Artikelnya berbunyi begini :


Seseorang yang menguasai bahasa Inggeris tidak akan luntur semangat patriotiknya kerana kini bahasa itu merupakan bahasa ilmu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Kita perlu menghadapi hakikat ini jika kita ingin memahami Sains dan Matematik untuk memperbaiki kehidupan kita, dan untuk membina negara ini menjadi sebuah negara maju, kita perlu berupaya memahami bahasa asing.
"Jika hari ini, kita buat keputusan untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, ia tidak bererti kita kurang patriotik," kata Dr Mahathir ketika menyampaikan ucap tama pada Forum Bioteknologi 2011 bertajuk, "Kebijaksnaaan Masa Lampau Untuk Menuju Masa Depan" di Subang Jaya dekat sini hari ini.
Beliau berkata Sains dan Matematik adalah mata pelajaran yang sentiasa berkembang hasil daripada pelbagai penyelidikan dan penciptaan manakala semua kertas kajiannya pula diahasilkan dalam bahasa Inggeris. "Tanpa kebolehan menterjemah semua ini ke dalam ilmu baru, orang Melayu akan ketinggalan dalam sesetengah bidang penting," katanya.
Beliau berkata mereka yang memahami mata pelajaran itu serta mampu membuat terjemahan, tidak akan berminat untuk menjadi penterjemah sepanjang hidup mereka, sedangkan Sains akan terus mengalami kemajuan selepas mereka meninggal dunia dan karya baru perlu diterjemahkan.
"Menguasai bahasa Inggeris sangat penting dan mereka yang tidak memahami bahasa Inggeris tidak akan dapat mengikuti penemuan baru dalam bidang Sains," katanya. Dr Mahathir berkata bahasa sesuatu bangsa akan hanya dipelajari orang asingsekiranya bangsa itu maju dan terkenal kerana ilmu pengetahuan dan hasil penyelidikannya.Sebagai contoh, kata beliau, pada kurun ke-15, bangsa Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab kerana pada waktu itu, tamadun Islam begitu hebat dan amat dihormati.
Tahun lepas, kerajaan mengumumkan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan dalam bahasa ibunda pelajar (Mandarin atau Tamil) di sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah Tamil mulai 2011 berikutan pemansuhan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris. Kerajaan juga mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah.

Pada pandangan aku, memang benar bahasa Inggeris berkembang seiring dengan kemajuan di negara ini. Namun tidaklah wajar sekiranya kita terus memartabatkan bahasa penjajah ini sehingga mengenepikan bahasa ibunda kita. Apa gunanya pakar penterjemah sekiranya khidmat mereka tidak digunakan? Sebagai guru bahasa, aku amat memandang sensitif dengan perkara ini. 



02 March 2011

NOVEL...

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Novel...dulu aku suka juga membacanya, tapi sekarang disebabkan banyak tugas dan tanggungjawab serta kisahnya yang panjang lebar, aku lebih suka mendengar kawan-kawan bercerita sahaja. Ada dalam kalangan mereka yang sanggup berhabisan kerana ingin memiliki sebuah novel. Tapi bagi aku, biarlah wang itu dihabiskan untuk membeli makanan...hehe.

Sebentar tadi, ketika aku sedang berehat melayani  Facebook,  aku terlihat satu post di dinding Facebook tersebut mengenai " Novel Versi Terengganu". Agak menarik tajuknya, lalu aku pun menekan ke "link" tersebut  untuk membacanya. Ceritanya begini :



Mamat rase malassang nök bangung tiddo. Nye gulling-gulling atah katil. Pusing kiri, pusing kanang. Serba dök kene dia berase. Mök Lijöh blèbèr hanyaar kot luör pitu, “Mat! Matahari nök tinggi galöh döh nim, ka’ak rezeki kalu bangung lèwat-lèwat. Mung tak dök kheje ke ari nim?”


Dök tahang kene blèbèr Mamat Ppayang pong bikah bangung ceggat dari katil. Baru dia teringat pukol 11 ada kene wat kheje sikit hök Böh dia suroh kemarèng. Mamat pong jungaa tangang dia ambèk tuala. Pèsèngang mandi P. Ramlee pulök pagi nim, al maklunglah pukol 10.30 döh. Dari Manir nök jembe ke Jalang Batah Baru tu jauh jugök. Pah tu nök kena bereti stèsèng minyok Petronah pulök dekat sipang trapik lait Pulau Musang. Döp ingat starang nok tamböh minyök kemarèng. Dök dang 10 minit Mamat siap belake döh. Minung air kopi-ö setegök dua lepah tu pakaa kasut kulit atah tangge kak lambo. Baru beli minggu lepah tu kasut tu. Bekilat ssiö! Lepah tu Mamat pong stak möto vroooooong hale ke bandö. Mötosika sèkèng hèng jer, tapi boleh tahang lah.


Jalang Batah Baru ader banyök bangunang jabbat dengang kedaa. Kalu hale ke depang sikit ada kedaa Astro, hök tv kene bayö bulang-bulang tu. Kalu tebèng dök bayö jer kena pötöng hanyaar. Lepah pada suraa Flat Batah Baru tu ada lèrèk kedaa èkong. Kedaa makang pong ada gök. Kalu jallang sikit lagi sebelum kedaa Astro tu, ada kawasang lapang tepat juaa khète baru cap Hyundaa dengang Kia.


Di antara kedaa èkong dengang kedaa Astro tu ada celöh-celöh tu jabbat löyar baru buka. Pèsèngang baru pah jadi löyar tu Mamat mari mmkir sörrang. Slo-slo Mamat naèk tikat dua. Napök gaye ader dua örang jer kherani. Llaki sörang, ppuang sörang. Boleh tahang hök ppuang tu. Tapi pakaa cicing molèk ngak kat jari manih tu. Ttunang döh pèsèngang tu.. Dök napök gambö starang. Berat nnanang. Mamat kabö ke kherani ppuang tu dia nök jjuper Tuang Löyar. Hayat hidup Mamat dök rajing jjuper löyar skali habuk. Cakkak dengang löyar jauh skali.. Nye mari debö wèh.

Mamat pong ketok pitu masok. Löyar tu tengöh pegang gagang talipung cap Panasonic kat telinga dia. Wayar talipung tu tengöh beseranggöh lagi. “I dah uruskan fixed deposit you sebanyak RM10 juta tu. Lagi satu, minggu depan ni, I nak you ikut I ke Singapore. HSBC Singapore dah buat arrangement untuk finance syarikat klien I, tak banyak, dalam 20 juta Sing dollar. Firm I jadi lawyer jugak tu. I turun KL minggu ni, kita dinner kat Shook di Starhill ok?”

Mamat bukang pandaa sangat cakak orang putih. Tapi bila dengö haa pitih die pahang. Mainang apa juta-juta nim? Mamat mari mmikir.

Löyar muder tu pong letök gagang talipung sambil-sambil kheling ujung mata tengök ke Mamat. “Yer, nök mender? Saya sibuk sangat ni, dök tengök ker?” löyar tu tanye Mamat.

Mamat pucat kesi. Dök tahu nök kata mende. Nök jawak salöh. Tak mboh jawak salöh. Macang mase nök bangung tiddo sakning. Serbe dök kene. Sudöhhang Mamat tebèng jugök jawak.

“Sebenörnyer tuang, sayer nim kheje dengang sarikat Teleköng. Saya mari nok sambung wayar talipung hök tuang wak lölök cakkak sakning. Dök sambung lagi wayar tu, guaner lah tuang boleh cakkak döh!”

Muka tuang löyar tu jadi biru hèrang!

Döh nök wat guana starang! Nök èksèng dök betepat! Ada jugök löyar kècèk orang dèh! Pecöh bo! Orang jamang lenim kata “kantoi”!


Menarik bukan? Rasa-rasa anda, adakah novel sebegini terdapat di pasaran? Kalau ada, ingin juga aku membeli. Bukan apa kita seharusnya memartabatkan dialek kita sendiri. Walaupun aku kurang faham akan bahasanya, namun bagi aku usaha yang dilakukan sangatlah baik dan sebagai anak muda kita seharusnya pandai menggunakan dialek setempat bagi tujuan yang baik. Sekian.

28 February 2011

BAHASA MELAYU ATAU BAHASA MALAYSIA?

Assalamualaikum dan salam sejahtera...


Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Itulah persoalan yang menjadi tanda tanya dalam mindaku. Menurut Dr. Faisal Tehrani, dalam http://tehranifaisal.blogspot.com/2010/02/bahasa-melayu-atau-bahasa-malaysia.html beliau menyatakan bahawa penggunaan istilah bahasa Melayu lebih tepat berbanding bahasa Malaysia berdasarkan bukti sejarah, pandangan akademik dan hakikat ilmu, sekali gus menjadikan usul Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) Ke-15, pada bulan lalu, wajar diambil perhatian oleh kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran perubahan itu kerana bahasa Melayu sudah pun kukuh dan berupaya menjadi bahasa penyatu sehingga generasi terdahulu sejak ratusan tahun dulu dapat menerimanya.

“Kita jangan berasa takut pada perkataan Melayu kerana sifat takut itu sendiri sebenarnya menggalakkan perkauman, sebaliknya penggunaan Melayu, boleh mencairkan perkauman kerana semua etnik di negara ini menerimanya.

“Bahasa Cina dan bahasa Tamil masih ada tetapi mengapa kita korbankan bahasa Melayu sedangkan saya yakin orang Cina sendiri menerima istilah itu kerana tidak ada demonstrasi atau bantahan daripada etnik lagi,” katanya.

Aku sangat bersetuju dengan pendapat beliau bahawa Bahasa Cina dan Bahasa Tamil masih ada, tetapi kita malu untuk menggunakan istilah "Melayu" itu sendiri bagi melambangkan jati diri kita sebagai bangsa Melayu. Tidak salah sekiranya kita menggunakan istilah bahasa Malaysia bagi mewakili semua bahasa di negara ini, namun bahasa Melayu yang melambangkan jati diri orang Melayu tidak seharusnya dilupuskan. 

“Semua etnik itu menjadi warga negara, iaitu bangsa Malaysia seperti bangsa Amerika yang diwakili pelbagai etnik, sekali gus penggunaan bangsa Malaysia wajar dikekalkan untuk menimbulkan kebanggaan kerana tanah ini menjadi tempat kita hidup, membina kehidupan dan mati,” katanya.

Sekian.







21 February 2011

ROJAK

"Laparnya"...kata kawanku tengah hari semalam. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 2 petang. Manakan tidak, cuti hujung minggu sebegini terasa malas pula untuk turun membeli makanan. Lebih selesa sekiranya masak sendiri di rumah. Tapi malangnya, hanya ada mee segera sahaja di rumah. Aku memberikan sahaja mee segera itu kepadanya kerana aku tidak lagi dibenarkan untuk memakan mee segera tersebut. Sakit perut pula!

Ketika sedang asyik melayari internet, aku terpandang kepada 'rojak Singapore' yang agak sedap. Wahh...berbunyi-bunyi perutku. Alangkah indahnya jika dapat menikmati hidangan tersebut di kala waktu begini.


Tetapi, apa yang hendak aku sampaikan di sini bukanlah mengenai rojak. Tetapi mengenai bahasa rojak. Pernah dengar bukan?

Setiap hari, pasti kita akan mendengar percampuran antara beberapa bahasa terutamanya antara bahasa Melayu dan Inggeris. Sudah menjadi kebiasaan pula apabila kita secara sengaja me'rojak'kan bahasa-bahasa ini. Contohnya :


Hello, apa khabar?

U all nak ke mana?

Kelas dan start ke?

Lecture ada meeting.

Assignment berapa page?


Banyak lagi contoh bahasa rojak yang sering kali digunakan dalam SMS, e-mel dan sebagainya. Malah, kadang-kala kita menjadi keliru dengan bahasa yang digunakan. Tidak kurang juga dengan singkatan yang digunakan, bertambahlah pening di kepala.

Pada pandangan aku, kita seharusnya memartabatkan bahasa Melayu kita sendiri. Mengapa harus dicampur dengan bahasa lain sedangkan kita juga mempunyai kosa kata kita sendiri. Lainlah sekiranya terdapat kata pinjaman yang tidak mempunyai kosa kata di dalam bahasa Melayu.

Oleh itu, kita sebagai generasi muda seharusnya memartabatkan bahasa kita sendiri. Jika bukan kita siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Jadi, renung-renungkan dan selamat beramal.





11 February 2011

SINGKATNYA...

Assalamualaikum dan selamat pagi semua..

Hari ini aku seperti tidak sedap badan sahaja. Mungkin disebabkan semalam aku tidak menjamah nasi dan hanya menjamah roti sahaja. Namun aku tetap bersemangat untuk menulis entri di dalam blog kesayanganku ini.

Seperti biasa, tajuk aku pada hari ini ialah SINGKATNYA...Apa yag singkat? Baju? Kain?Seluar?
Jeng..jeng..jeng...

Jangan berfikiran negatif. Singkat yang aku maksudkan ialah perkataan ataupun sekarang lebih dikenali sebagai bahasa SMS. Sudah menjadi tabiat generasi sekarang menggunakan singkatan yang sesingkat-singkatnya sehingga kadang kala kita menjadi pening memikirkan mesej yang ingin disampaikan. Kadangkala sampai tersasar daripada tujuan asal yang ingin disampaikan. 

Sebentar tadi aku baru sahaja menerima mesej pesanan ringkas daripada adikku di kampung. Mesejnya berbunyi begini :

As'kum, chat ka? uat pe? Aq nk mtx tlg ckt. Ang tlg isi spa kt aq st...

Aku menjadi kaget seketika. Memikirkan apa yang ditulis oleh adikku itu. Chat? Bagaimana dia tahu aku sedang " chat "? uat?aq?mtx? Pening aku........



Setelah beberapa minit memikirkan, barulah aku faham akan maksud mesejnya.

Assalamualaikum..sihat ka? buat apa? Aku nak minta tolong sat. Tolong isi SPA kat aku sat..

Mudahnya masyarakat kita sekarang bukan? Yang pendek mahu dipendekkan lagi. Kadang-kadang seperti sudah menjadi satu kebiasaan pula. Aku juga turut menyenaraikan beberapa perkataan yang sukar difahami :

koe = kau

6be = nombor

tw = tau

mw = mau

bley = boleh

mp = maaf

bb = sebab


Oleh itu, marilah kita sama-sama renungkan. Apakah kita mahu menyampaikan mesej yang tepat untuk mudah difahami oleh penerima ataupun hanya sekadar ikut sesedap rasa sahaja apabila ingin berbahasa? Bahasa melambangkan bangsa. Sekiranya perkara ini berterusan, instituisi pendidikan juga akan turut merasa tempiasnya kerana para pelajar sekarang sudah terbiasa dengan singkatan-singkatan ini dan seterusnya akan terbawa-bawa dalam ujian mahupun peperiksaan. Siapa yang harus dipersalahkan sekiranya perkara ini berterusan??

10 February 2011

ULANG LAGI...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Ulang? Ulang apa ye? 
Di sini aku ingin menceritakan satu kisah mengenai ulang. Bukan ulang semester atau lain-lain, tapi adalah ulang ayat. Anda pernah dengar unsur lewah? Kalau orang bahasa sudah tentu pernah dengar bukan? Banyak dalam kalangan kita yang sering mengulang perkataan yang sama maksud.

Ketika aku sedang asyik berbual dengan rakanku sementara menunggu kelas seterusnya, salah seorang daripada mereka pun bersuara. 

Dila : Cuba hang try buka portal tengok, sampai la ni tak boleh buka.


Ayu : Dah memang sistem depa macam tu, makin maju teknologi makin hampeh.


Aku : Ada masalah problem pa?


Dila : Portal tu la, dok loading ja tak abis. Geram aku.


Begitulah serba sedikit dialog antara aku dan juga rakan-rakanku. Disebabkan kami merupakan satu geng yang datang dari Kedah,  maka dialek Kedah digunakan.


Aku ingin menjelaskan bahawa terdapat unsur pengulangan atau lewah di dalam dialog tersebut. Walaupun terdapat percampuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, namun maksudnya tetap sama. Aku juga mendapati sudah menjadi satu tabiat dalam masyarakat kita pada hari ini mengulang perkataan yang sama dalam percakapan. Ada juga yang secara sengaja mencampur adukkan ucapan secara berleluasa seperti :

"Cuba hang try test uji"

Maksud yang sama, namun terdapat pengulangan yang secara berleluasa di situ. Oleh itu, kita sebagai guru haruslah peka dengan situasi ini. Kita tidak seharusnya membiarkan perkara ini berterusan bermaharajalela dalam bahasa kita. Jika kita tidak mengubahnya, siapa lagi? Oleh itu, renung-renungkanlah...Sekian.

08 February 2011

BAHASA KEDUA

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Apa khabar semua? Diharap anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Maklumlah, cuti Tahun Baru Cina baru sahaja berlalu. Sekarang tiba masanya untuk kita meneruskan perjuangan kita di bumi Tanjong Malim ini.

Sewaktu aku dalam perjalanan pulang ke Tanjong Malim, aku didatangi oleh seorang pelancong asing yang mahu ke Kuala Lumpur. Dia duduk bersebelahanku kerana tidak mempunyai tiket. Seperti apa yang diceritakannya, tiket kapal terbang telah kehabisan. Lalu dia dan tiga orang rakannya mengambil jalan pintas dengan menaiki kereta api tanpa tiket.


Aku menjadi kaget seketika apabila pelancong tersebut berbahasa Inggeris ketika berbual denganku. Disebabkan aku jarang menggunakan bahasa Inggeris di dalam perbualan seharian, aku menjadi sedikit gagap. Bak kata orang seperti kucing berbual dengan ayam. Sangat kelakar.


Pelancong : Excuse me, are you Malaysian? (bercakap dialek Arab sedikit)


Aku : Aaa...yes, I am. You?

Pelancong : I'm from Palestine, but on the way to Kuala Lumpur.


Aku : Ohhh....

Pelancong : How old are you?

Aku : 23, you?

Pelancong : 24...You look very young!

Aku : (kembang seketika) Really?

Pelancong : Maybe you have a boyfriend?

Aku : (ketawa sebentar, sudah tentu ya!) Maybe.

Pelancong : Why maybe? You know, its haram in Islam.



Aku : ( Malu seketika)

Pelancong : Maybe you have a lot of boys of friend, not boyfriend.


Aku : Yes, boys of friend.

Suasana senyap seketika. Kemudian aku melihat dia mengeluarkan notanya bertajuk "Phonology". Aku tertanya-tanya mungkinkah dia pelajar sama sepertiku? Lalu aku beranikan diri untuk bertanya.

Aku : Are you student?

Pelancong : Yes, I am. I'm from University of Malaya.

Aku : Ohh...(senyap, tidak tahu untuk berkata-kata lagi)


Peristwa tersebut membuatkanku tersenyum sendirian apabila mengenangkannya kembali. Aku juga turut bangga kerana aku telah berjaya berbual dalam bahasa Inggeris dengan pelancong asing walaupun kadang-kadang ada juga penggunaan bahasa Melayu ketika itu.

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah, walaupun bahasa pertuturan seharian kita adalah bahasa Melayu namun kita tidak seharusnya mengabaikan penggunaan bahasa kedua mahupun ketiga. Hal ini demikian kerana, dalam situasi aku tadi kita tidak tahu bila dan bagaimana kita harus berinteraksi dengan pelancong asing. Oleh itu, kita seharusnya tahu serba sedikit tentang penggunaan bahasa Inggeris walaupun nahu tatabahasanya buruk. Sekurang-kurangnya kita mahu mencuba dan berupaya berinteraksi dengan segenap lapisan masyarakat.


Sekian, Wassalam.

28 January 2011

BAHASA DAN SASTERA

INDAHNYA ALAM

Kudongak ke langit
Biru...cukup indah
Bagaikan menceritakan sebuah hikayat
Ceritera kayangan
Ukiran yang pelbagai
Seolah-olah ada kisah di sebaliknya
Inginku teroka
Tapi bukan masanya...

Kulihat ke kiri
Hutan yang tebal
Hening menghijau
Unggas-unggas beterbangan
Riang bermain
Seperti kanak-kanak bermain di taman
Flora saling mekar
Seperti pertandingan ratu dunia
Indah...cukup indah.

Kutoleh  ke kanan
Laut yang membiru
Tenang...damai...
Desiran ombak memecah pantai
Bagaikan saling bekerjasama
Tiada rasa cemburu
Tiada rasa dendam
Bagaikan buih-buih memutih
yang belum dinodai..

Kuberpaling ke belakang
Gunung-ganang megah berdiri
Hijau, bagaikan warna di syurga
Terkadang mentari pagi muncul menyinari
di celah-celah gunung yang memberi seribu erti
Erti yang kusendiri tidak mengerti.

Ketika orang lain sedang bersiap-siap untuk pulang ke kampung halaman, aku pula lebih sibuk menyiapkan segala tugasan. Bukan sengaja tidak mahu pulang, tetapi atas beberapa faktor yang menghalang, aku terpaksa mengambil keputusan untuk terus tinggal di KHAR ini.

Aku telah menyiapkan satu antologi sajak yang terdiri daripada pelbagai tema seperti patriotisme, persahabatan, percintaan dan juga alam. Semua ini gara-gara tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah subjek Keterampilan Penulis. Disebabkan sedikit minat aku terhadap sastera, aku telah berjaya menghasilkan 20 buah sajak dalam masa 2 jam. Puas rasanya dapat menghasilkan karya mengikut buah fikiran aku sendiri.

Seperti sajak di atas, aku namakan sajak tersebut dengan Indahnya Alam. Indah bukan alam ciptaan kita ini? Begitu juga bahasa. Sangat indah. Bahasa dan sastera memang tidak dapar dipisahkan. Bak kata P.Ramlee bagai irama dan lagu. Tiada bahasa, maka tiada jugalah sastera. Begitulah sebaliknya. Dalam berbahasa juga kita dapat mengungkap sesuatu ujaran dengan lebih teratur dan kemas. Dengan sastera pula kita dapat menyampaikan maksud sesuatu itu dengan lebih sopan dan indah. 

Dalam sajak di atas, aku telah kemukakan diksi-diksi alam bagi menyatakan perasaanku tentang alam yang cukup indah ini. Bertapa bersyukurnya aku dapat hidup dan menghirup udara yang segar di atas bumi Tuhan. Begitulah yang mahu aku ungkapkan. Dengan sastera aku dapat menghasilkan sebuah sajak yang begitu puitis. Dengan bahasa pula, kata-kata yang tersusun dan teratur dapat aku gunakan untuk mengungkapkan perasaanku.

Oleh itu, kita seharusnya bersyukur dengan segala yang kita ada. Kita dikurniakan bahasa yang indah dan cantik bagi menyampaikan maksud sama ada tersurat mahupun tersirat. Bahasa jiwa bangsa, maka bangsa seperti kitalah yang harus mencoraknya sebaik mungkin. Wassalam.