Showing posts with label AKU DAN CINTA. Show all posts
Showing posts with label AKU DAN CINTA. Show all posts

07 March 2011

SELAMAT HARI WANITA

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari ini, 8 Mac 2011 merupakan Hari Wanita. Baru aku tahu adanya Hari Wanita sedangkan sebelum ini aku tidak pernah sedikit pun mengambil tahu. Biasa lah, sebelum ini aku masih lagu muda remaja. hehe..

Bersempena Hari Wanita ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita yang ke-100 kepada semua yang yang bergelar wanita. 


Memang banyak jasa dan pengorbanan seorang insan yang bergelar wanita bukan? Apatah lagi yang bekerjaya dan mempunyai rumahtangga yang perlu diuruskan dengan kerenah suami dan anak-anak. Memang berat sebenarnya tugas wanita jika dibandingkan dengan lelaki.

Aku tertarik dengan suatu panggilan yang dibuat oleh seorang pendengar radio Hot.fm pagi tadi. Tajuknya begini...Kerana seorang wanita aku... Begitulah tajuknya. Apabila salah seorang pendengar ini menelefon, beliau telah menceritakan kisah percintaannya. Disebabkan seorang wanita yang kini menjadi isterinya, dia telah menghadapi hari-hari yang sukar dengan begitu baik. Isterinya telah banyak bekorban demi rumahtangga mereka kerana beliau telah disahkan menghidap penyakit usus besar. Sepanjang perkenalan mereka, wanita tersebut sanggup mengambil keputusan untuk mendirikan masjid dengan beliau walaupun tahu akan penyakitnya itu. 

Sangat besar pengorbanan wanita itu bukan? Demi cinta dan kasih sayang, dia sanggup bekorban. Sanggupkah kita bekorban sebegitu?

Aku ingin menyimpulkan bahawa, kita sebagai manusia telah ditentukan Qada dan Qadarnya. Jika Dia telah menentukan jodoh kita, maka kita harus menerimanya dengan hati yang terbuka. Tidak semua manusia itu sempurna dan yang sempurna hanyalah Allah S.W.T. 

Begitu juga dalam pergaulan kita dengan masyarakat. Kita seharusnya menjaga adab dan sopan supaya dipandang mulia sebagai seorang wanita. Wanita adalah hiasan dunia, dan sebaik-baik wanita adalah wanita solehah. Setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut kita turut melambangkan identiti kita sendiri. Jika buruk, buruklah yang akan dipandang. Jika baik, maka baiklah semuanya. Semua bergantung kepada diri kita sendiri sebagai seorang wanita. Oleh itu, renung-renungkan dan selamat beramal sebagai seorang wanita sejati yang taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Sekian.


23 February 2011

KEDAH vs KELANTAN

Assalamualaikum w.b.t...

Sudah lama tidak menulis di dalam blog ini. Agaknya sudah bersawang, mungkin juga dipenuhi dengan sarang labah-labah. Demi kesibukan yang melanda diri, aku tidak sempat mencoret di dalam blog kesayangan ini. Namun hari ini akan aku gagahi juga untuk meluangkan sedikit masa untuk bermanja-manja dengannya.

Baiklah. Setiap hari aku akan berdepan dengan rakan daripada pelbagai negeri. Ada dari negeri Perak, Kedah, Terengganu Johor, Sabah dan sebagainya. Namun tidak lupa juga kepada insan istimewa yang berasal dari negeri Kelantan. Setiap hari aku akan belajar satu dialek dari negeri Kelantan. Inilah keistimewaannya. Selain berbual kosong, aku juga dapat belajar serba sedikit mengenai loghat Kelantan. Mana tahu, suatu hari nanti aku akan menjadi salah seorang warga Kelantan. 



Ingin aku kongsikan di sini beberapa perkataan dari dialek Kelantan yang mempunyai maksud yang sama atau hampir sama dengan dialek Kedah.

bekeng ~ cengei
gewe ~ marka
royak ~ habaq
gelenya ~ meqela
sokmo ~ seterit
kelih ~ kalih

27 January 2011

TERKILAN...

Sedih dan pedih bukan apabila kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang. Apatah lagi mengenai perkara yang remeh temeh. Kali itu jugalah macam-macam prasangka buruk yang akan dilemparkan antara satu sama lain. 

Hendak dijadikan cerita. Pada suatu hari, terjadi pergaduhan kecil antara aku dan si dia. Apa yang hendak dihairankan, sudah menjadi adat apabila berkasih sayang bukan? Ada sahaja perasaan cemburu menyelubungi hati. Disebabkan aku berasal dari Kedah, manakala si dia berasal dari Kelantan, maka keluarlah kata-kata dari dialek masing-masing.

Si dia : Bekeng teh!

Aku : Suka hati aku la, ang kalut pa?

Perasaan marah semakin meluap-luap. Memang, setiap kali bergaduh ada sahaja perkataan yang kurang enak didengar menjadi halwa telinga. Apatah lagi setelah berjanji untuk makan bersama-sama. Akhirnya masing-masing mengalah.



Kadang-kala rasa geli hati pula apabila di saat bergaduh akan terkeluar kata-kata dari dialek masing-masing. Apatah lagi kalau tidak faham, maka terkapai-kapailah aku mencari maksudnya. Nasib baiklah si dia tidak perlu sepertiku kerana bahasa perbualan kami setiap hari adalah menggunakan dialek utara. 

Sebagai kesimpulannya, biar apa warna kulit kita...hitam, coklat, kuning, biru...kita tetap satu. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Walaupun kita berkasih-sayang, kita seharusnya menjaga tata susila juga. begitu juga dengan orang yang lebih dewasa daripada kita. Oleh, marilah kita menggunakan kata-kata yang enak sepanjang masa tidak kiralah bila dan di mana. Sekian.